|
|
MEMBESAR bersama barangan antik sehingga lama kelamaan menanamkan rasa kecintaan Rubby Mahmod, 34, kepada barangan tersebut.
Katanya, sejak kecil mereka adik- beradik seramai enam orang telah didedahkan dengan barangan antik kerana ibunya membuka sebuah kedai antik. Sementara itu, bapanya pula melakukan kerja-kerja membaik pulih dan membersihkan barangan antik yang berusia hingga ratusan tahun.
''Ketika cuti sekolah atau cuti semester, kami akan ke kedai ibu dan menolong menggosok atau mengilatkan barangan antik. Dari situ saya mulai tahu mengenai keistimewaan barangan antik.
''Saya memang tidak berminat dengan barangan baru contohnya, perabot baru yang meniru rekaan antik,'' kata Rubby semasa ditemui di rumahnya di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sekarang setelah mendirikan rumahtangga dan mempunyai tiga cahayamata, minatnya terhadap barangan antik semakin menebal dan satu demi satu menjadi koleksinya di rumah.
Walaupun tinggal di kuarters kerajaan dan bukan rumah sendiri namun itu tidak menjadi halangan kepada Rubby bagi menghias kediamannya dengan perabot dan barangan perhiasan antik.
Rumah dua tingkat berkembar empat bilik ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin bagi meletak dan menyusun atur perabot antik kesayangannya.
Menurut Pengurus Persatuan Air Malaysia ini, walaupun menyukai konsep oriental bagi hiasan rumahnya namun beliau tidak mahu berpegang kepada konsep yang satu itu sahaja. Lantas beliau mencampurkan konsep hiasan asalkan ada kesesuaian, selesa dan kena pada tempatnya.
Di ruang tamu, Rubby memilih konsep moden dengan meletakkan set sofa ala Inggeris dua dudukan dengan corak bunga serta dua buah sofa merah tanpa corak. Ini disesuaikan dengan langsir padanan fabrik bercorak bunga dan polos.
Agar ruang dinding tidak nampak kosong, hiasan kain pua kumbu digantung di dinding mengapit potret anak kembar Rubby ketika masih bayi.
Merah yang menjadi warna kesukaan Rubby diterapkan pada sebahagian dinding rumah, iaitu di ruang makan dan menuju ke dapur.
Di tepi dinding di antara ruang tamu dan ruang makan ini, Rubby meletakkan sebuah kabinet nyonya yang dibuat daripada kayu nam berusia lebih 100 tahun yang dibelinya daripada ibunya. Keistimewaan kabinet ini ialah cara pembuatannya yang dipasak dan tidak menggunakan sebatang paku pun.
''Saya memang suka sangat dengan kabinet ini. Lihatlah ukirannya yang halus dan tidak terdapat lagi pada hari ini. Kalau ada pun, harganya terlalu mahal dan tidak mampu dibeli. Saya beruntung kerana ibu sendiri menjual perabot dan barangan antik, dapatlah saya mengumpul sedikit demi sedikit,'' kata Rubby.
Di tepi dinding di satu sudut di ruang makan, Rubby meletakkan sebuah kabinet hiasan, juga daripada kayu jati yang berusia 100 tahun.
Sebuah meja makan enam kerusi daripada kayu cengal berusia 80 tahun menghiasi ruang ini. Kerusi makan berwarna coklat gelap ini dilapisi dengan kusyen berwarna merah terang agar ruang nampak berseri.
Dua buah kotak makanan nelayan antik daripada kayu berukir diletakkan di atas meja makan sebagai hiasan.
Di tepi meja makan ini turut kelihatan sebuah kukur kelapa antik yang dihadiahkan oleh ibunya pada hari lahirnya tahun lepas.
Melihat pada kecenderungan Rubby mengumpul barangan antik, ibunya turut menghadiahkan beberapa barangan seperti almari baju Belanda, meja bulat kopitiam daripada kayu jati dengan permukaan marmar berusia lebih 100 tahun dan katil.
Rubby bukan setakat menghias di ruang tamu sahaja malah beliau turut menghias di tingkat atas rumah dengan beberapa lagi koleksi antiknya. Di tengah ruang televisyen keluarga, Rubby meletakkan meja kopitiam dengan tiga buah bangku.
Di bilik bersebelahan, buku-buku tersusun kemas di kabinet buku yang juga antik. Deretan piala daripada tembaga berusia puluhan tahun tersusun di atas kabinet. Kata Rubby, piala-piala ini dibeli daripada ibunya kerana pada masa kini sukar hendak mencari piala seperti ini.
text and image courtesy of Utusan Malaysia online
Raby Antiques Sdn Bhd4A Jalan Pinggiran 2
Medan Damai Ukay
68000 Ampang
Selangor
016 335 0955
NUke
masukkan nama aku sekali tau dlm paper