Showing posts with label buku. Show all posts
Showing posts with label buku. Show all posts
Naskah Dendam nukilan Affifudin Omar dinilai sebagai sebuah karya berat yang berlatarbelakangkan 'sesuatu situasi' di Malaysia. Yang mana, ada ketikanya, pembaca akan berasa akan kisah yang disampaikan ini sebetulnya berlaku, ataupun sekadar fiksyen...?
Dalam Dendam, penulis berjaya menghuraikan kekesalan Khalil Gibran, seorang billionaire yang sebelum ini mempunyai banyak 'cable' dan kroni dalam bidang politik dan jenayah bagi memperkasakan kuasanya. Namun, di sebalik penyesalan yang ditonjolkan pada separuh kedua nukilan ini, sudah tentu, para pembaca diperkenalkan dengan Khalil Gibran yang lampau - seorang anggota keselamatan yang cenderung menggunakan kekerasan bagi mendapatkan sesuatu yang diingini.
Pun begitu, semua yang menjadikan dirinya ketika itu adalah disebabkan perasaan dendam yang sudah lama tertanam dalam benak hatinya.
Ringkasnya, Dendam ini disimpulkan dalam ayat dibawah:
Too good to be true, too bad, it's just a fiction.
For me, this is by far, the most realistic story among Buku Fixi's novels.
Judul: Dendam
Penulis: Affifudin Omar
Terbitan: Buku Fixi
Tahun: 2011
Skor: Wajib Beli, Wajib Baca
p/s: Picture is courtesy of Buku Fixi
NUke
dalam topik : buku
Murtad karya Hasrul Rizwan ini boleh dianggap sebagai novel 'sederhana berat'. Pembaca dinasihatkan untuk membaca Murtad dalam waktu yang sangat lapang dan santai bagi memudahkan minda untuk menerima hakikat jalan cerita ini bisa menjadi realiti di dunia kini.
Selesai membaca Murtad, pembaca berkemungkinan berasa was-was dengan beberapa individu yang dirasakan mengikuti kita; sekiranya pembaca acapkali melakukan dosa lah. Ini semua adalah kemungkinan yang akan berlaku di dalam dunia kini.
Adam dan Akhil merupakan sepasang kembar seiras yang berhajat besar untuk bekerja di Kuala Lumpur, sementelah kehidupan zaman kecilnya dibelenggu masalah hasil daripada kelakuan buruk bapanya. Namun, apa yang menyedihkan bagi mereka pabila persoalan tentang masa rehat dan solat yang diajukan seolah-olah dipermainkan oleh penemuduga. Berang.
Jadi, adakah mereka menjumpai kerjaya idaman mereka selepas itu? Tidak pasti. Apa yang jelas, kad hitam berkalimah syahadah itu telah membawa kedua-dua insan ini ke sebuah gudang usang. Briefcase hitam yang mengandungi dua pucuk pistol hitam, sekeping sampul surat, kunci kereta dan wang ringgit dibuka dan hanya dilihat; sebelum keputusan tekad dibuat.
Dalam penceritaan kerjaya mereka ini, mereka menjumpai semula insan yang bergelar Ayah, yang dahulunya hilang meninggalkan mereka bersama-sama si ibu. Si kembar ini juga berdepan dengan konflik dan dilema cinta daripada wanita-wanita yang bertentangan personalitinya. Tak lupa juga watak jahat yang sangat kejam.
Novel ini dikarang bagus oleh Hasrul Rizwan, namun beberapa 'typo' terutamanya di penghujung karya menjadikan ia sedikit 'slack'. Namun, intipatinya tetap terbaik disempurnakan dengan loghat 'Kedah' yang asli.
Membunuh orang yang Murtad. Pembunuh atau pejuang agama?
Anda sendiri mampu mencari jawapannya.
...dan mungkin si kembar ini akan mencari anda juga? Siapa yang tahu?
Judul: Murtad
Penulis: Hasrul Rizwan
Terbitan: Buku Fixi
Tahun: 2012
Skor: Wajib Beli, Wajib Baca
p/s: Picture is courtesy of Buku Fixi
NUke
dalam topik : buku
Kehilangan adik kembarnya telah menyebabkan Shaziman menjadi tidak keruan. Sementelah dia hanya ditinggalkan dengan satu nota yang berbentuk ugutan atau ancaman untuknya tidak melibatkan pihak polis. Dalam pada kebuntuan mencari jawapan, Shaziman 'menjadi' adiknya, Ikhsan dan menyelami dunia Ikhsan sedikit demi sedikit. Sudah tentu, dia kemudiannya bertemu Jo, seorang penyiasat peribadi yang terlebih dahulu diupah Ikhsan untuk menyiasat suatu perkara.
Dalam hal yang langsung tidak berkaitan (pada mulanya), Khairani, seorang pekerja kilang di kotaraya pula hidup bersahaja dengan dibelenggu masalah kewangan. Tambahan pula kakaknya di kampung yang sakit misteri itu perlu diubati, dan memerlukan kos...pendek kata duit yang banyak! Ayah mereka? Sudah mati. Mak nya pula berkahwin lain selepas itu. Tetapi... ayah tirinya itu juga mati.
Apa kaitan Shaziman, Jo, Khairani dan Ikhsan?
Dayang Noor, si penulis Hilang ini bijak membawa pembaca masuk dari satu babak, ke babak yang lain. Dari permulaan kepada penghabisan; dan juga penghabisan kepada permulaan. Hayatilah plot-plot Hilang yang disulam kemas sehingga klimaksnya bertemu di tengah-tengah penceritaan.
Dan bersedialah untuk mengetahui kebenaran di sebalik nota ancaman itu...yang dicemari darah dan juga cecair benih dari seorang....lelaki.
Judul: Hilang
Penulis: Dayang Noor
Terbitan: Buku Fixi
Tahun: 2012
Skor: Patut Beli, Wajib Baca
p/s: Picture is courtesy of Buku Fixi
NUke
dalam topik : buku
Kasino karya Saifullizan Tahir ini sememangnya digarap baik sedari permulaan ayat pertama sehinggalah baris akhir. Naskah yang mengisahkan tentang kehidupan Mohd Narcissus Yussof, seorang pemilik syarikat swasta di kota raya.
Cerita banyak pun tak guna. Dari tajuk pun dah boleh agak yang tema novel ini lebih terfokus kepada 'duit'. Ya, dari situ, cerita diolah dan disulam baik dengan plot-plot perancangan Narcissus untuk mendapatkan sejumlah wang sementelah keadaan semasa menjadikan dirinya berhutang dengan kerajaan negeri sebanyak RM3.8 juta.
Dalam pada Narcissus berusaha dan merancang untuk mendapatkan sumber kewangannya itu, turut diselitkan adegan-adegan romantik dan konflik cinta jejaka itu dengan isteri, skandal dan juga cinta sejati.
Namun, bagi mereka yang baru mahu berjinak-jinak dengan penulisan buku Fixi ini, cuma ada satu pesanan saja daripada saya:
Buka minda dan cubalah menerima apa saja butir penulisan di dalam KASINO ini dengan rasional.
Mahukan lebih banyak komen tentang buku ini? Maaf, sila baca sendiri. Inzal.
Judul: Kasino
Penulis: Saifullizan Tahir
Terbitan: Buku Fixi
Tahun: 2011
Skor: Wajib Beli, Wajib Baca
Penulis: Saifullizan Tahir
Terbitan: Buku Fixi
Tahun: 2011
Skor: Wajib Beli, Wajib Baca
NUke
dalam topik : buku
Dan Aidilfitri kali ini menyaksikan aku tewas dengan godaan.
Kasino.
Sangat addictive.
Aku curse penulis ini sebab menghasilkan karya yang baik!
NUke
dalam topik : buku
Seperti yang tertulis pada pembuka antologi ini, Kopi adalah gabungan 19 cerpen Fixi yang diilhamkan oleh minuman yang tidak asing ini. Sama seperti kepelbagaian rasa kopi, antologi Kopi ini juga mempunyai kepelbagaian yang sama. Pahit, manis, pekat, cair... semuanya ada.
Dibuka dengan 'Kopi 3 Rasa' oleh Shaz Johar, pembaca akan dibawa menyingkap kisah sebuah keluarga yang masing-masing mempunyai kisah 'kopi' tersendiri. Sebagai pembantu rumah keluarga itu, perlu bagi Kartika untuk memenuhi kehendak tuan besar, puan besar dan juga anak perempuan mereka. Penghujung cerita yang sangat luar biasa bakal menemui pembaca.
'Bersaksi Kopi' karya Dayang Noor pula lebih kepada situasi serba salah seorang wanita terhadap seorang lelaki setelah kesudiannya mendengar segala macam cerita lelaki itu, dan kesudiannya memberikan nasihat itu disalah ertikan. Wujudkah erti kekejaman dan kezaliman dalam perihal ini? Terpulang kepada tafsiran pembaca sendiri. Ada ketika ia menjadi simpati, ada masa, menjadi lawak pula.
Namun, kisah dramatik kopi lebih tersusun dan digamat baik menerusi 'Kopi Kola' hasil nukilan Nadia Khan. Pertemuan dua individu yang berlatarbelakangkan keluarga berbeza - moden dan kampung menjadikan pertemuan itu lebih bermakna. Dari situ, timbul rasa cinta dan seterusnya kehendak untuk mahukan satu ikatan. Kopi dan Kola pula menjadi gelaran masing-masing; dan dramatiknya, semua itu mungkin tidak kekal lama apabila salah seorang daripadanya sepi menghilangkan diri dan tiba-tiba muncul kembali, setelah menemui pengganti.
Obsesi terhadap bekas kekasih juga menjadi salah satu kesan adiktif kopi. Menerusi 'Kopi, Donat dan Bayang Gadis Berambut Hijau' memanglah satu cerpen yang unik hasil tinta Adib Zaini. A must-read short stories, yang akan membongkar segalanya pada pengakhiran. A worthy reading!
'Cinta Kopi' pula mengisahkan persahabatan seorang jejaka yang sudah dibuang kerja dengan seorang barista di Starbucks. Anehnya, betulkah mereka berdua itu pernah bertemu? Benarkah wujud gadis itu? Atau hanya imaginasi dan khayalan? Another must-read! Menyentuh hati juga karya Gina Yap Lai Yoong ini!
Bayangkan pula anda memiliki seorang isteri yang bermisai dan mengenakan tudung berserban ala-ala Yuna! Bukankah lawak? Karya bersahaja Ridhwan Saidi berjudul 'Luwak dan Kretek' ini mungkin perlu dibaca dua kali sebelum mendapatkan gambaran yang sebenarnya. Dan ia adalah olahan yang paling menarik dalam kumpulan cerpen ini!
Mengambil latar belakang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), karya 'Kopi Percik' oleh Amal Hamsan adalah kisah yang paling menyentuh emosi dan perasaan pembaca. Jangan ditanya mengapa, tetapi cukuplah kita ingat bahawa ada ketika roh tidak menyedari akan jasad yang telah pun 'pergi'. Another must-read!
'Kau Kopikoku' oleh Dheepan Pranthaman pula mengimbau kembali kisah dan pendam rasa cinta seorang murid lelaki berbangsa India terhadap rakan sekolahnya - seorang pelajar perempuan berbangsa Melayu (I think). Setelah terpisah beberapa lama, akhirnya dia berjaya menjejaki semula gadis itu, yang kini sudahpun berumah tangga dan mempunyai cahaya mata. Simbolik plastik gula Kopiko pada awal dan pengakhiran kisah ini sangat menjadi!
Satu-satunya cerpen bergambar dalam antologi ini adalah sebuah karya Nik Adam Ahmad berjudul 'Kopi Jantan Kaw'. Mengenengahkan kisah seorang pengemis, diselang-selikan dengan gambar yang menyempurnakan jalan cerita. Perlukah kita kesal selepas membelanja minum seorang pengemis?
'Cethu' pula dirasakan antara cerpen yang 'berat' dalam himpunan cerpen-cerpen Kopi ini. Tulisan Nabila Najwa ini perlu diambil masa juga untuk dihirup dan difahami. Namun, semua usaha itu perlu dikeluarkan sedikit demi memahami bait-bait mantera cinta yang cuba disampaikan.
Jikalau anda mahukan suatu penceritaan yang unik, 'Barista Cinta' adalah satu contoh terbaik. Tema yang cuba ditonjolkan oleh Shafaza Zara Syed Yusof ini memang memberi kesan dan makna kepada pembaca. Yang menjadi imam, tak semestinya seorang yang tua. Dan yang alim itu tak semestinya lemah lembut. Dan seseorang itu barangkali mempunyai dua identiti berbeza pada siang dan malamnya. Semua itu tergambar daripada mata seorang barista yang memerhati dan memiliki deria hidu yang tajam. A must-read!
Lucah! mungkin itu tanggapan pertama pembaca ketika mula-mula membaca nukilan Asyraf Bakti berjudul 'Hari Inditih' ini. Tetapi, mungkin ada kebenarannya juga disebalik pembongkaran yang dilakukan dua sahabat ini. Awas ya, kepada sesiapa yang gemar makan dan minum di kedai mamak yang memiliki pelayan-pelayan wanita yang putih-putih dan cantik-cantik.
Karya Hafiz Hamzah menerusi 'Malam, Di Meja Tempat Kau Terlentok' juga merupakan salah satu cerpen berat yang memerlukan kefahaman dan tafsiran yang baik oleh pembaca.
Secara peribadi, karya 'Ritual' selayaknya diangkat sebagai terbaik di kalangan terbaik. 'Ritual' merupakan satu kisah cinta yang menggabungkan sisi romantis sepasang kekasih, dan juga menonjolkan isu pengorbanan yang perlu dihapadi oleh si jejaka dan si gadis. Sementelah masing-masing merupakan sepasang kekasih, dan juga adik-beradik seibu, sebapa. A very nice writing by Luc Abdullah. A worthy reading, and a must read!
Kalau cerita-cerita sebelum ini lebih berkisarkan akan kisah cinta manusia, karya Fadhli Al-Akiti berjudul 'Tangan Berulat' ini adalah sesuatu yang luar biasa. Garapan pada permulaan cerpen ini sebegitu bagus sehinggakan pembaca seolah-olah dapat merasakan gerak-gerak ulat dan pasir pada muka, tangan dan muka masing-masing. Manusia? Zombie? Siapa yang memiliki cinta?
Redza Minhat juga menyumbang dalam antologi ini. 'Venti' menunjukkan kepada kita sebagai pembaca akan keutuhan sesorang kepada prinsip, walaupun terpaksa berdepan dengan orang yang dicintai...dalam diam. Short, and simple, yet a worthy reading!
Sedikit thrill, pembaca disajikan dengan 'Kopi Julia' yang dibancuh baik oleh Faizal Sulaiman. 'Sesuatu' yang dikutip dan diperturunkan perlu digunakan sebaik mungkin. Tambahan pula untuk menghapuskan musuh dan juga mereka yang menghalang diri untuk memiliki sesuatu yang diidam-idamkan!
Antara cerpen berat yang terkandung dalam antologi ini adalah 'Secangkir Kopi Bersama Dia' oleh Syaihan Syafiq. Lelaki, sudah berkahwin; juga bercinta dengan lelaki lain. Kesannya? Tahniah! Anda juga mewarisi virus yang akan menjamah perlahan diri dan hidup anda!
Sebagai penutup, antologi ini diakhiri dengan 'Kopi Mimpi' karya Raja Faisal. Antara ayat yang menarik dalam cerpen ini adalah "Orang yang selalu memikirkan tentang dunia lama adalah orang yang suka bermimpi." Meaningful. Satu lagi nukilan yang menyentuh hati. Sungguhpun bermimpi.
Keseluruhannya, Kopi adalah satu bacaan yang sederhana (tidak terlalu ringan, dan tidak terlalu berat) dan perlu dibaca dalam suasana santai. Membaca antologi ini ketika berada dalam tren keretapi atau bas barangkali akan menambahkan stress dan tekanan; sementelah tajuknya sendiri sudah jelas memberikan gambaran yang sepatutnya - KOPI.
Rileks, santai, bersahaja, nikmat, dan lupakan dunia lain!
Judul: KOPI
Editor: Amir Muhammad
Tahun: 2012
Skor: 4.0/5.0
NUke
Sambungan daripada naskah pertama – Jimi
dan Raksasa Misai di Sekolah, menyaksikan karya Fadhli Hamdan ini lebih
bermakna. Kisah cerita dalam naskah kali ini lebih terfokus kepada Jimi yang di’denda’
untuk menyertai Kem Bina Disiplin, akibat tindakannya bergaduh dengan Alif
tempoh hari.
Jimi dalam Akibat Jambul Alif!
Pembaca akan dibawa bersama-sama mengamati
segala macam perkara yang dipelajari Jimi semasa menghadiri kem tersebut
sekaligus mengimbau kembali kenangan-kenangan manis dan pahit semasa zaman kita
bersekolah dahulu kala.
Ketika di kem tersebut juga Jimi
akhirnya mengerti erti kesungguhan dan bersyukur setelah dia berkenalan dengan
Hakim. Apa yang dipelajarinya? Kena baca sendiri buku ini!
Impian tetap impian, janji tetap janji. Jimi
mula mengatur strategi untuk memperbaiki prestasi pelajarannya. Dia turut
dibantu kenalannya dan juga kembarnya, Mimi. Jimi menggunakan kemahiran mencontengnya
untuk menghafal dan memahami matapelajaran yang lemah. Dalam masa yang sama,
Mimi juga mengajak Jimi untuk menyertai aktiviti pada Minggu Bahasa Inggeris
setelah tamat peperiksaan pertengahan semester kelak.
Kesungguhan Jimi mengulangkaji pelajaran
terserlah sehinggalah dia jatuh demam pada malam sebelum peperiksaan. Namun,
dia masih sempat pulih dan menjawab peperiksaan dengan sebaiknya.
Adakah Jimi memperoleh keputusan 5A
dalam peperiksaannya itu? Bagaimana pula dengan janji oleh si Ayah berkenaan
dengan basikal?
Dan apa pula kesudahan Alif, si musuh
yang selalu menyusahkan hidup Jimi itu?
Kenalah baca buku ini!
Skor: 4.0/5.0
Judul: Jimi dalam Akibat Jambul Alif
Oleh: Fadhli Hamdan
Terbitan: PTS Pop Sdn Bhd
Harga Pasaran: RM12.90 (W/M’sia) / RM
14.90 (E/M’sia)
Tahun: 2012
p/s: siapa-siapa yang memang minat dengan karya contengan kartun, memang perlu memiliki naskah-naskah ini.
NUke
Siapa-siapa yang tidak tersenyum dan
tersengih-sengih bersendirian selepas membaca naskah debut Fadhli Hamdan ini
barangkali tidak mempunyai zaman kanak-kanak yang ceria. Pemilik blog ‘contengconteng’ ini akhirnya memenuhi permintaan peminat karya kartunnya tahun ini
dengan terhasilnya buku terbaru. Lebih bermakna, bukan sahaja satu buku, tetapi
dua!
Jimi dan Raksasa Misai di Sekolah
bermula dengan impian watak utamanya, Jimi (seorang murid sekolah rendah) untuk memiliki sebuah basikal setelah
terlihat akannya ketika keluar bersama keluarga di pasaraya. Namun, impian
untuk memiliki basikal idamannya itu tidaklah dimakbulkan sebegitu sahaja
apabila si Ayah memberikan syarat untuknya memperoleh keputusan 5A dalam
peperiksaan pertengahan tahun sebelum boleh memiliki basikal itu.
Dan dari situ, kisah Jimi bermula.
Gambaran hidup keluarga mid-class jelas digambarkan dalam keluarga Jimi, yang
juga mempunyai kembar perempuan, Mimi – yang jauh lebih pandai daripadanya.
Kehadiran kawan-kawan Jimi dan Mimi seperti Ganesh, Jason dan Mei Ling
menambahkan rencah jalan cerita ini.
Tak lupa juga akan watak antagonis –
Alif yang digambarkan sebagai seorang murid yang ‘poyo’ dalam kisah ini, sesuai
dengan jambul yang dimilikinya.
Juga perlu diberi perhatian akan ‘komik
di dalam komik’ pada pertengahan jalan cerita ini; yang mana Jimi secara tidak
sengaja telah menyinggung perasaan Cikgu Rosman, guru disiplin di sekolahnya.
Ketahui juga tips-tips belajar yang
dikongsikan Mimi kepada Jimi, yang mana menjadikan buku ini bukan sahaja satu
bacaan ringan semata-mata, tetapi penuh dengan ilmu yang berguna juga!
Jimi juga menyertai pertandingan
mencipta logo untuk kelab Sains dan Matematik, yang mana dia kemudiannya
dipilih sebagai pemenang dan mendapat keahlian percuma ke dalam kelab itu.
Semua itu mungkin menggembirakannya untuk seketika sehinggalah dia menyedari
bahawa musuhnya, Alif turut berada di dalam kelab yang sama.
Pembaca akan dibawa hanyut bersama contengan
yang sedikit tampak ‘messy’ tetapi kemas Fadhli Hamdan mendalami kisah hidup
Jimi dan strateginya untuk memperoleh 5A. Namun, cerita ini sudah tentu
bukanlah satu kisah gembira semata-mata; tatkala kesabaran Jimi akhirnya
melampaui batas, akibat tidak berpuas hati dengan sikap Alif.
Akibat dari tindakannya itu, Jimi
akhirnya dikenakan hukuman.
Menarik kan? Kalau nak tahu apa yang
berlaku kepada Jimi, kena dapatkan naskah Jimi dan Raksasa Misai di Sekolah
dengan segera!
Skor: 4.0/5.0
Judul: Jimi dan Raksasa Misai di Sekolah
Oleh: Fadhli Hamdan
Terbitan: PTS Pop Sdn Bhd
Harga Pasaran: RM12.90 (W/M’sia) / RM
14.90 (E/M’sia)
Tahun: 2012
Notakaki: naskah ini ada sambungannya,
berjudul Jimi dalam Akibat Jambul Alif. Ulasan menyusul kemudian.
NUke
Subscribe to:
Posts (Atom)
Segala kenyataan yang terdapat di dalam laman ini hanyalah pandangan peribadi penulis sahaja; dan tidak wajar dijadikan rujukan ilmiah. Semua nukilan adalah karya asli NUke_Rude MELAINKAN setiap perkara yang telah diperjelaskan sumber-sumbernya. Sebarang paparan semula adalah dilarang tanpa kebenaran bertulis. Penulis tidak bertanggungjawab atas kesan daripada salah laku yang disebabkan oleh tindakan pembaca itu sendiri.








