Siri 2
Tergamam. Aku terkedu. Dalam gigilan, aku masih cuba mahu menoleh perlahan. Tak mungkin yang berbisik itu seorang perempuan, kerana apa yang aku dengari hanyalah satu suara kasar milik seorang lelaki.
"Hahaha. Rileks lah Asyraf! Ni aku la!"
Serentak dengan itu, aku menarik nafas lega. Ku tarik juga zip seluarku setelah memastikan istinja'ku sempurna. Itulah Xyryll, rakan sebilik ku di Kolej Maju Cemerlang. Senyuman manis dilemparkan kepada ku. Oh, kalaulah aku ni seorang perempuan, semestinya aku cuba memikatnya. Ya lah, bertubuh sasa dan memiliki ketinggian yang sama dengan kebanyakan 'mat saleh', siapa saja pasti tergoda dengan kacak wajahnya.
"Kau nampak ke?", aku bertanya kepadanya, sambil menuju ke arah sinki untuk membilas tangan. Xyryll cuma tersenyum. Kemas dirinya dalam salinan kemeja putih berbelang biru. Dipadankan pula dengan sepasang jeans biru gelap yang semakin lusuh.
"Ah! Kau ingat aku ni apa? Tak ingin lah aku melihat 'anu' kau tu!", balasnya. Ianya diikuti dengan hilaian tawa. Xyryll kemudiannya meminta maaf kalau-kalau tindakannya itu tadi menakutkan aku. Aku hanya mampu untuk tertawa kecil.
Xyryll pun baru sahaja sampai di Melaka Sentral. Pun dalam perjalanan pulang ke kolej. Jadi, kami mengambil keputusan untuk pulang ke kolej bersama-sama. Sementara menunggu bas Patt Hup yang menuju ke Durian Tunggal tiba, kami menghabiskan masa berbicara tentang hal-hal yang berlaku di rumah masing-masing. Bercerita juga tentang perihal gadis-gadis yang lalu di sekeliling kami, sambil membandingkan aset-aset mereka. Biasalah, lelaki memang suka perbualan kotor.
---
Terpaku pandanganku kepada langkah manis si cantik itu. Ya, itu perempuan yang duduk di sebelah aku semasa di dalam bas. Aku menunjukkan isyarat diam kepada Xyryll lalu memerhatikan perempuan itu melangkah menuju keluar kompleks bas ini. Xyryll juga menoleh. Dia tersengih. Katanya, kalau sudah berkenan, cepat-cepat lah minta nombor telefon. Kiranya kalau bosan-bosan pun, boleh lah melayan mesej.
"Apalah kau ni, ke situ pula!" balasku cuba mengelak.
"Asyraf, aku ni kawan baik kau. Kita ni berkawan sejak Darjah Satu. Takkan lah aku masih tak mengenali kau. Kau ni dah macam adik-beradik aku sendiri, okay". Xyryll cuba mendorong aku untuk mengenali perempuan itu dengan lebih rapat. Namun, aku hanya mampu terpaku dan duduk di kerusi kusyen yang keras yang ada di dalam dewan menunggu itu.
---
4.00 petang.
Bas Patt Hup berwarna hijau itu pun tiba di platform. Sama seperti pemandangan biasa di mana-mana, manusia mulai sesak dan berebut untuk menaiki bas. Yang tua ditolak ke tepi, yang bunting terpaksa beralah, dan yang comel cantik didahulukan si jejaka. Budi bahasa kita entah ke mana. Aku membontoti Xyryll ke arah bas itu. Ditolaknya lelaki-lelaki miang yang menempel dan menghalang pintu bas dan terus masuk menuju ke arah tempat duduk paling belakang. Aku cuma menuruti.
Perjalanan singkat ini terasa sangat lama dek kerana bas yang dinaiki bukanlah bas ekspres, tapi bas lompat-lompat cuma. Aku yang sememangnya hilang mengantuk dek terhayun-hayun di dalam bas walaubagaimanapun kagum dengan kemampuan si Xyryll yang elok saja berdengkur di atas bahu kiriku.
Sekali lagi, diam.
---
Sesudah tiba di bilik, aku menyimpan semua kain bajuku yang ada di dalam beg ke dalam almari kayu yang usang itu. Peluh sudah lama kering pada tubuh badanku. Arief dan Fadhiri sudah hilang entah ke mana. Bermain badminton barangkali. Yang ada, cumalah si Xyryll yang sedia terbongkang di atas katil. Dalam pada aku mengemas baranganku, aku masih memikirkan peristiwa di tandas Melaka Sentral tadi.
"Bagaimana Xyryll boleh ada di situ? Adakah dia tahu aku pun berada di situ?", bisik hati kecilku.
Setelah semuanya kemas dan tersusun. Aku menanggalkan baju pagodaku, menampakkan susuk tubuhku yang sedikit berkilat akibat hujan peluh sepanjang hari. Ku capai tuala dan ku sangkutkannya di atas bahu kanan sambil tangan kiriku mula memeriksa kocek seluar jeans hitamku. Kosong. Cuma debu. Ku masukkan pula tangan ke poket kiri di bahagian belakang pula. Ternyata ianya berisi. Bukan sahaja debu, malah ada sekeping kertas kecil.
Hairan. Ku keluarkan isi poket itu dan ku baca tulisan pena merah pada permukaannya...
"Alya' - 015 337 9828"
Termenung sambil mula berfikir.
"Siapa pula Alya' ni?", soalan yang bermain dalam benak fikiranku.
---Bersambung...
p/s: sebutan Xyryll adalah 'Zairil'
NUke
dalam topik : ku ampunkan cintamu, novel
3 Comments:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Segala kenyataan yang terdapat di dalam laman ini hanyalah pandangan peribadi penulis sahaja; dan tidak wajar dijadikan rujukan ilmiah. Semua nukilan adalah karya asli NUke_Rude MELAINKAN setiap perkara yang telah diperjelaskan sumber-sumbernya. Sebarang paparan semula adalah dilarang tanpa kebenaran bertulis. Penulis tidak bertanggungjawab atas kesan daripada salah laku yang disebabkan oleh tindakan pembaca itu sendiri.
tekan2 xdapat laaa
cis