Siri 10


Tangan Xyryll pantas menyambar telefon bimbitnya. Lantas dikirimkan satu pesanan ringkas kepada Nizam untuk bertanyakan sesuatu. Lama ditunggu, namun tidak jua berbalas. Dia mengambil keputusan untuk keluar dari biliknya dan berjalan menyusur laluan kaki lima menjauhi blok asrama itu. Jari-jemarinya menekan punat-punat nombor pada telefon bimbit, mendail nombor telefon Nizam.

Deringan demi deringan kedengaran, juga tidak berjawab. Tak lama selepas itu, dia menerima kiriman SMS yang memang dinanti-nantikan. Ianya datang daripada Nizam. Ringkas dan pendek saja kandungannya. Satu perkataan yang menjelaskan situasi mereka ketika ini.

Kantoi.

Xyryll memaki hamun perlahan seorang diri. Beberapa penghuni asrama lain yang melintasi dan melalui kawasan itu tidak dipedulikan. Dia mungkin cemas. Dan buntu akan apa yang akan terjadi selepas itu. Xyryll sedar kini, gerak langkah dirinya yang terburu-buru mengikut nafsu itu juga sudah menunjukkan akibat yang nyata. Dia kembali menatap skrin telefon bimbitnya itu, dan mengambil keputusan untuk merangka satu lagi kiriman SMS.

Asyraf, jumpa aku jap kat kafe atas. Ada benda nak dibincangkan.

Hanya Asyraf yang mampu dicari. Tiada sahabat lain yang dapat membantunya barangkali. Xyryll betul-betul mengharapkan kefahaman Asyraf untuk sekali ini sahaja. Dan akur andaikata sahabat karibnya itu mungkin juga akan membiarkan dirinya terkontang-kanting mengharungi hukuman yang bakal dilaluinya itu.

Ok.’ Balas Asyraf ringkas.

Xyryll terlebih dahulu menuju ke kafeteria di atas bukit, sedikit jauh daripada blok asramanya itu. Tidak seperti kafeteria yang selalu dituju mereka, kafeteria di atas bukit itu sedikit sunyi dan terpencil. Justeru, tidak ramai pelajar yang datang untuk makan dan melepak di sana. Suasananya juga sedikit sunyi.

Sepuluh minit berselang, Asyraf tiba di tempat yang dimaksudkan. Ringkas mengenakan seluar trek dan berbaju tee nipis, Asyraf duduk berhadap dengan Xyryll. Minuman yang sudah awal dibelikan Xyryll itu terus diteguk perlahan menghilangkan haus dek panas petang.

Nah, kau baca surat ni.”, kata Xyryll sambil menghulurkan notis yang baru diterimanya itu kepada Asyraf. Tenang, Asyraf membaca satu per satu butir perkataan yang terkandung dalam surat. Lalu perlahan mengalihkan pandangannya tepat kepada Xyryll.

What happened actually?” soalnya.

Sekali lagi, Xyryll terpaksa menceritakan kepada Asyraf perihal kejadian yang berlaku malam itu. Xyryll akur akan keterburuannya dan keterlanjurannya untuk kesekian kalinya. Dan semua itu hanya menebalkan perasaan benci dan menyampah Asyraf terhadapnya. Terperasan akan Xyryll akan wajah menyampah Asyraf yang dilemparkan ke arahnya, akan tetapi dia akur akan respon yang diberikan itu.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Asyraf yang sudahpun fed up dan kecewa dengan tindakan Xyryll itu kemudiannya mendengar lebihan cerita dan sesalan Xyryll dengan acuh tak acuh. Walaupun kecewa dengan sahabatnya itu, dia juga sangat ingin membantu dan kasihan terhadap lelaki yang pernah dicintainya itu. Sementelah pula dia juga ada memikirkan implikasi tindakan disiplin itu terhadap emosi dan masa depan Xyryll. Juga keluarganya kelak.

Tak boleh buat rayuan ke?” tanya Asyraf tiba-tiba mahu memberikan keyakinan kepada Xyryll. Tanggapannya, barangkali dengan mengemukakan rayuan, hukuman terhadap Xyryll itu mungkin dapat dikurangkan. Namun, dia sekali lagi kecewa apabila Xyryll sendiri seolah-olah sudah pasrah dengan hukuman yang diterima. Bagaikan sudah kiamat pula. Asyraf menyentap perlahan surat daripada tangan Xyryll, mengamati sekali kalau-kalau ada disebutkan perihal rayuan.

Tengok ni. Rayuan boleh dikemukakan dalam tempoh dua minggu. Kalau kau nak, aku boleh tolong rayukan untuk kau.

Pelawaan Asyraf yang ingin membantu itu sedikit sebanyak memberikan harapan dan sinar kepada Xyryll yang sudah pun berserabut fikirannya itu. Memang sama seperti yang difahami Asyraf, Xyryll itu sememangnya clumsy. Asyraf kemudiannya meminta Xyryll untuk berjumpa dengan Penolong Pengarah kolej pada hari yang ditetapkan. Dan kemudian esoknya atau lusanya dia mungkin boleh berjumpa bagi mengemukakan rayuan bagi pihak Xyryll.

Setelah persetujuan dicapai, kedua-dua lelaki itu mengangkat kaki dan kembali menuju ke bilik mereka. Dalam perjalanan menuruni anak-anak tangga itu, Xyryll memberhentikan langkah dan menarik Asyraf menghadap ke arahnya. Dia lantas memeluk erat sahabatnya itu dan berterima kasih sebanyak yang mampu diucapkan.

Asyraf kembali membalas pelukan erat itu dan membisikkan sesuatu yang sudah lama tidak didengari Xyryll.

Aku akan tolong kau, Ryll... Aku sayangkan kau.


--Bersambung...


NUke

3 Comments:

  1. Unknown said...
    saya pun sayang kamu :P #eh
    Faizal Sulaiman said...
    ok.

    aku harap asyraf lakukan sesuatu:)
    NUke_Rude said...
    tengku:
    lol. haha.

    faizalsulaiman:
    ya. lakukan sesuatu!

Post a Comment




Segala kenyataan yang terdapat di dalam laman ini hanyalah pandangan peribadi penulis sahaja; dan tidak wajar dijadikan rujukan ilmiah. Semua nukilan adalah karya asli NUke_Rude MELAINKAN setiap perkara yang telah diperjelaskan sumber-sumbernya. Sebarang paparan semula adalah dilarang tanpa kebenaran bertulis. Penulis tidak bertanggungjawab atas kesan daripada salah laku yang disebabkan oleh tindakan pembaca itu sendiri.

 

K2 Modify and NUke Rude Blog 2010 | Use it. But don't abuse it.