Siri 9
Tombol pintu bilik dipulas perlahan. Xyryll sedaya upaya membuka pintu biliknya itu dengan perlahan dan tidak mahu melakukan pergerakan yang mampu menghasilkan bunyi yang kuat. Kocek seluarnya dikosongkan sebelum tubuhnya dilentangkan di atas katil. Tidur.
--
Asyraf bangkit dari tempat tidurnya terlebih awal berbanding rakan-rakan sebiliknya yang lain. Yang pasti, matanya ligat mencari kelibat Xyryll yang elok sahaja tidur di atas katil. Bingkas dia bangun dan melangkah ke meja belajar Xyryll. Buku-buku dan helaian nota kuliah yang berselerak di atas meja itu dikemaskan. Dalam kebiruan hening subuh dengan cahaya yang samar-samar, Asyraf masih mampu melihat semuanya dengan jelas. Alat-alat tulis milik kekasihnya itu disusun kemas dan diletakkan di bahagian kanan meja. Sesekali dia menyentuh wajah Xyryll, mengusap perlahan ubun-ubunnya. Tersenyum.
Dan entah kenapa juga dia begitu tertarik untuk membelek-belek telefon bimbit Xyryll yang diletakkan di sebelah bantal. Namun hatinya begitu berat untuk mengambil sebab telefon bimbit itulah yang acapkali mengingatkan dirinya akan Alya'; seorang gadis yang pernah diminatinya. Alya' juga merupakan dan masih lagi bergelar kekasih straight Xyryll. Dan dia seolah-olah terlupa untuk bertanya akan perihal itu kepada Xyryll. Masihkan lelaki yang sedang tidur itu berhubung dan bercinta dengan Alya'?
Berbagai-bagai persoalan mula difikirkan Asyraf. Apakah dia mahu berterusan begini bersama Xyryll? Dan segala macam implikasi juga cuba dibayangkan. Dan jauh di sudut hati, dia lebih memikirkan tentang Alya'. Kerana satu ketika dahulu, hatinya itu pernah cuba untuk mendekati perempuan itu. Dan semua itu berubah dengan tindakan seorang lelaki yang bernama Xyryll.
"Perlukah aku berdamping bersama Xyryll lagi?"
"Adakah Xyryll atau Alya' yang aku mahukan?"
Subuh. Wudu' disempurnakan sebelum takbir diangkat. Asyraf memastikan dirinya melakukan solat subuh dengan sempurna yang termampu olehnya. Dia pun tahu, dirinya tidak sebaik mana, cuma mampu melakukan apa yang terdaya untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Tidak pasti dengan apa yang telah dilakukan selama ini. Sesal. Teruja menikmati segala cumbuan dan juga segala kehangatan dalam dakapan yang bersifat sementara cuma.
Dan Asyraf mulai keliru.
Dan dia perlu kembali menjadi dirinya.
Dan dia perlu kembali ke jalan asalnya.
"Asyraf..?", tegur Fadhiri setelah melihat air mata mulai mengalir di pipi kanan sahabatnya itu.
--Bersambung...
NUke
dalam topik : ku ampunkan cintamu 2, novel
2 Comments:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Segala kenyataan yang terdapat di dalam laman ini hanyalah pandangan peribadi penulis sahaja; dan tidak wajar dijadikan rujukan ilmiah. Semua nukilan adalah karya asli NUke_Rude MELAINKAN setiap perkara yang telah diperjelaskan sumber-sumbernya. Sebarang paparan semula adalah dilarang tanpa kebenaran bertulis. Penulis tidak bertanggungjawab atas kesan daripada salah laku yang disebabkan oleh tindakan pembaca itu sendiri.
yeah!!