text and image are courtesy of UTUSAN MALAYSIA ONLINE


Antik tidak jemu mata memandang

Oleh MERAN ABU BAKAR

SUDAH beberapa tahun penulis melalui lebuh raya Lingkaran Tengah Ampang Hulu Kelang dan sudah beberapa kali juga mata penulis singgah pada papan iklan Raby Antiques berhampiran susur masuk ke Pinggiran Ukay.

Sementelah penulis salah seorang peminat antik, papan iklan itu sudah semestinya menarik perhatian. Namun, hati masih belum berani untuk mencari kedai antik tersebut kerana sangka penulis harga barangan pasti mahal memandangkan lokasinya dikelilingi taman-taman perumahan mewah.

Namun, kunjungan ke Raby Antiques baru-baru ini dan perkenalan dengan pemiliknya, Rabiah Abd. Majid, 56, menghapuskan segala sangkaan itu.

Menemui wanita yang peramah dan amat mesra ini dirasakan umpama sudah mengenalinya bertahun-tahun. Keramahannya membuatkan sesiapa saja pasti selesa berada di kedai yang mengumpul segala koleksi barangan antik dari seluruh pelosok negara.

Menyelusuri perjalanan kehidupan Rabiah, yang pernah bekerja selama lima tahun di kedai barangan antik milik seorang warga asing di Jalan Ampang pada tahun 1970-an, segala kesusahan hidup yang dialami rupa-rupanya tersimpan hikmah.


Peminat barangan antik pasti teruja melihat bermacam-macam barangan antik yang dipamerkan.


“Tempoh lima tahun bekerja sebagai pembantu kedai dari tahun 1973 hingga 1978, banyak pengalaman pahit yang dialami. Demi rezeki yang halal saya tetap bersabar biarpun kadangkala gaji yang diterima tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan,’’ kata Rabiah memulakan bicara ketika ditemui di kedainya.

Beliau menyambung, hatinya benar-benar merajuk apabila rayuan untuk meminjam RM1,000 bagi membina rumah tidak dilayan.

“Bukan itu sahaja, ada lagi kes-kes lain sehingga membuatkan saya terfikir sampai bila harus menjadi kuli pada bangsa asing. Jika dia boleh berniaga di negara kita, mengapa kita tidak,’’ katanya.

Sebagai permulaan, Rabiah mengikuti kursus keusahawan anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) selama dua minggu yang banyak memberi motivasi, keyakinan dan keazaman kepadanya. Walaupun tidak ada modal namun semangat yang kuat sudah cukup buatnya.

Lantas pada 1978, Rabiah berhenti kerja dan membuka kedai barangan antik sendiri dengan menumpang kedai ibu saudaranya di Flat Pekeliling, Kuala Lumpur. Pada waktu itu hanya bermodalkan barangan antik bernilai RM4,000. Ditambah dengan beberapa barangan yang dikumpul sedikit demi sedikit semasa bekerja dahulu.

Sambil itu, Rabiah juga mengambil upah membaiki, menggosok dan memulihara barangan antik sehingga nampak cantik dan bernilai.

Pengalaman bekerja sebagai pembantu kedai membolehkan beliau mengumpul ramai kenalan yang sedikit sebanyak memudahkannya dalam perniagaan yang baru diceburi.

“Ada seorang kawan Cina yang selalu menghantar barangan antik dari Melaka sanggup membawa saya ke beberapa kedai kenalannya di negeri itu dan meminta mereka membantu saya.

“Selama tiga bulan saya turun naik tangga pejabat Mara dan akhirnya mendapat pinjaman sebanyak RM10,000. Dengan duit tu, saya beli lagi barang-barang antik di Melaka, selain di Terengganu, Perak dan Pulau Pinang,’’ ujar ibu enam orang anak ini.

Rabiah menambah, barang-barang antik yang dijualnya adalah warisan tempatan dan bukan dari negara-negara lain.

“Orang asing memang suka barangan antik kita. Kata mereka, barangan antik Malaysia cantik dan ada kombinasi Portugis, kolonial dan Baba Nyonya. Ia bermutu tinggi kerana dibuat dengan penuh cermat dan seni ukiran kita juga unik serta tahan lama sama ada yang berasaskan kayu mahupun logam.

“Sebab itu orang asing yang datang bekerja di Malaysia sanggup membeli dan membawa balik ke negara mereka. Malah, mereka hairan mengapa rakyat Malaysia tidak menghargai warisan mereka sendiri,’’ jelas beliau yang menjual barang antik berumur 100 tahun ke atas.

Menurutnya, di Malaysia, barangan lama yang berumur 70 tahun ke atas akan dianggap sebagai barangan antik.

Ditanya adakah beliau sendiri memiliki barangan antik yang disayangi, katanya, banyak yang disayangi sehingga keberatan untuk menjualnya.

Namun apabila difikirkan bahawa beliau bukan pengumpul cuma membeli dan menjual sahaja, maka beliau terpaksa melepaskannya jika ada pembeli yang mahukannya.

Perniagaannya semakin membesar dan barangan semakin banyak. Berkat keuntungan yang dikumpul, Rabiah mampu membeli kedai tiga tingkat di Pinggiran Ukay pada tahun 1990.

Kini telah 30 tahun Rabiah berniaga barangan antik. Mengikuti peredaran masa dan atas nasihat anak-anak ditambah dengan usia yang semakin meningkat, Rabiah akan menjual kedainya bagi menumpukan pada perniagaan melalui Internet.

Katanya, trend sudah berubah sekarang. Jika 30 tahun lalu, pelanggan dari serata tempat akan datang ke kedainya mencari barangan antik yang mereka suka, namun kini ramai yang memilih membeli melalui Internet kerana cara itu lebih mudah dan menjimatkan masa.

Rabiah menasihatkan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan barang antik, sebenarnya barangan ini boleh disesuaikan dengan hiasan dan susunan perabot yang ada sekiranya pandai menyusun atur.

“Contohnya, seorang pelanggan saya meletakkan sebuah almari baju antik di ruang tamu rumahnya. Walaupun almari baju, namun ia tetap nampak cantik dan tidak janggal.

“Tetamu yang datang ke rumahnya pasti akan menegur kerana almari tersebut memang nampak unik dan istimewa.

“Barang antik tidak menjemukan mata memandang. Membelinya amat berbaloi walaupun harganya lebih kerana tahun demi tahun nilainya meningkat,’’ jelas Rabiah.

Kepada yang berminat dengan barangan antik, bolehlah hubungi Rabiah di 016-3350955.

-----------------------------

Raby Antiques Sdn Bhd
4 Jalan Pinggiran 2
Medan Damai Ukay
68000 Ampang

e: rabyantik@yahoo.com
-----------------------------

oh, ibu ku...

NUke

2 Comments:

  1. Anonymous said...
    Teringat plak masa lepak2 kt kedai ibu.. hehe
    NUke_Rude said...
    huhuh

Post a Comment




Segala kenyataan yang terdapat di dalam laman ini hanyalah pandangan peribadi penulis sahaja; dan tidak wajar dijadikan rujukan ilmiah. Semua nukilan adalah karya asli NUke_Rude MELAINKAN setiap perkara yang telah diperjelaskan sumber-sumbernya. Sebarang paparan semula adalah dilarang tanpa kebenaran bertulis. Penulis tidak bertanggungjawab atas kesan daripada salah laku yang disebabkan oleh tindakan pembaca itu sendiri.

 

K2 Modify and NUke Rude Blog 2010 | Use it. But don't abuse it.