Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) pastinya merupakan satu kenangan manis buat Juara Akademi Fantasia musim ke-7, Hafiz yang berjaya mengekalkan gelaran 'Vokal Terbaik' dan juga membawa pulang gelaran yang paling dimahukan oleh karyawan tempatan lain - Juara Lagu. Dengan kemenangan-kemenangan itu, Hafiz telah berjaya mencatat sejarah tersendiri. Hafiz merupakan artis kedua (selepas Misha Omar) yang memenangi kategori Vokal Terbaik untuk 2 tahun berturut-turut. Beliau juga menjadi artis lelaki pertama yang mengekalkan kecemerlangan dalam kategori itu selama 2 edisi AJL.

Pun begitu, untuk kategori Vokal Terbaik, Hafiz dicabar hebat oleh gandingan trio 3 Suara (Jaclyn Victor / Ning Baizura / Shila Amzah) menerusi lagu Beribu Sesalan; laungan vokal Jaclyn Victor dalam Sedetik Lebih, Karma nyanyian Faizal Tahir, dan juga vokal penuh emosi Yuna yang menyampaikan lagu Penakut. Hafiz membawa pulang hadiah kemenangan RM 10,000 dan juga trofi.

Persembahan Terbaik pula dimiliki oleh Alyah menerusi persembahan unik dan sederhana oleh Alyah dengan lagunya Kisah Hati. Ternyata Alyah yang melakonkan figura patung dan juga kehadiran pelakon Remy Ishak yang membuat cameo di penghujung lagu berjaya menambat hati juri dan juga para penonton - justeru, melayakkan beliau meraih hadiah wang tunai RM 10,000 dan juga trofi.

Tempat ketiga dimiliki oleh rocker Malaysia yang mula tidak asing lagi namanya dalam pentas AJL; Faizal Tahir. Sungguhpun hanya mempertaruhkan satu lagu untuk edisi kali ini, ternyata 'what goes around comes around'. Beliau pernah memenangi Tempat Ketiga pada AJL 24 dahulu, dan sejarah itu berulang sekali lagi apabila karya Audi Mok dan dirinya sendiri diangkat sekali lagi untuk memenangi Tempat Ketiga AJL26. Faizal Tahir dan Audi Mok membawa pulang RM 12,000 dan juga trofi bagi lagu Karma.

Seperti yang diharapkan ramai pihak; trio 3 Suara (Jaclyn Victor / Ning Baizura / Shila Amzah) yang mempertaruhkan lagu Beribu Sesalan diangkat sebagai Naib Juara. Terima kasih kepada karya Kevin Chin dan Tinta, serta alunan mantap vokal 3 penyanyi wanita ini; lagu ini berjaya menusuk naluri para juri dan peminat AJL, seterusnya melayakkan mereka bergelar Naib Juara. Dengan kemenangan ini, kesemua mereka berkongsi  hadiah kemenangan RM 15,000 berserta trofi.

Ternyata, seperti yang dijangkakan, AJL kali ini berjaya mengiktiraf karya yang sememangnya terbaik di kalangan yang terbaik. Saingan untuk AJL kali ini diakui sengit dan masing-masing ada favourite tersendiri; baik penonton, artis yang bertanding sendiri dan juga para juri (saya pasti akan hal ini). Lagu ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Budi Hekayat menerusi Awan Nano nyanyian Hafiz diangkat sebagai lagu terbaik dan Juara Lagu Anugerah Juara Lagu ke-26. Membawa pulang wang RM 35,000 dan trofi, Awan Nano menafikan Wanita Seluruh Dunia, Sedetik Lebih, Kalau Berpacaran, Gadis Semasa, Kekanda Adinda, Cinta Muka Buku, Sungai Lui, Penakut dan Kisah Hati untuk meraih gelaran utama itu. Menariknya, Hafiz yang terkenal dengan rambut gerbangnya itu hanya mengenakan baju T biru dan juga seluar track hitam tanpa berkasut/bersepatu semasa melantunkan Awan Nano di pentas berprestij ini.

Yang pastinya, pemilihan Awan Nano ini dirasakan tepat dek kerana lagu itu telah pun diiktiraf oleh juri serantau (Malaysia, Singapura & Indonesia) ketika memenangi kategori Lagu Terbaik Anugerah Planet Muzik 2011 tahun lalu; menafikan karya-karya hebat dari tiga negara itu.

Juri AJL26 juga dirasakan sangat adil dan bijak apabila tidak memilih lagu-lagu yang terpalit kontroversi (Anugerah Industri Muzik 18) Sedetik Lebih dan Penakut sebagai juara.

Dengan kemenangan Awan Nano; maka berakhirlah sudah teka-teki 'siapa yang bakal bergelar Juara Lagu?' untuk tahun penganjuran yang ke-26 ini.

Syabas dan tahniah buat Hafiz, M. Nasir, Budi Hekayat, dan juga para pemenang Anugerah Juara Lagu ke-26.



NUke

4 Comments:

  1. Afir said...
    ko ler antara yg plg awal kluar review..ahhaa
    tp awan nano mmg best!!!
    Faizal Sulaiman said...
    phewww awal hang buat review!

    ape2 pun puas hati dengan #AJL26
    farhana said...
    Puas hati dengan AJL kali ni.
    3 suara ada tempat, Najwa Latif xmenang. Puas hati! =P

    Tapi, lepas tengok AJL, makin suka plak dgn lagu Sungai Lui.
    hamzah ian said...
    hafiz awan nano mmg terbaik

Post a Comment




Segala kenyataan yang terdapat di dalam laman ini hanyalah pandangan peribadi penulis sahaja; dan tidak wajar dijadikan rujukan ilmiah. Semua nukilan adalah karya asli NUke_Rude MELAINKAN setiap perkara yang telah diperjelaskan sumber-sumbernya. Sebarang paparan semula adalah dilarang tanpa kebenaran bertulis. Penulis tidak bertanggungjawab atas kesan daripada salah laku yang disebabkan oleh tindakan pembaca itu sendiri.

 

K2 Modify and NUke Rude Blog 2010 | Use it. But don't abuse it.