text and images are courtesy of Utusan Online.

---------------------------------------------

1 Disember 2008, Isnin.

Rumah bagai mini muzium

BAYANGKAN, sembilan almari hiasan dimuatkan dalam satu ruang tamu. Jika tidak pandai menyusun aturnya, memang ia boleh menjadikan kawasan itu berserabut dan menyempitkan ruang serta menjadikan pergerakan kurang selesa.

Namun bagi Rabiah Abdul Majid, ia bukan satu masalah besar kerana apa yang lebih penting ialah perabot-perabot antik kesayangannya itu yang telah dikumpul sekian lama, tersusun dan dijaga elok di ruang tamu banglo kecilnya.

Ketika kunjungan ke banglo comel itu yang terletak di Taman Jasa, Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor baru-baru ini, tiada keistimewaan yang dapat ditafsirkan tatkala melihat banglo tersebut dari luar.

Malah Rabiah sendiri mengakui, hanya banglonya saja di kawasan perumahan mewah itu yang tidak dibuat apa-apa ubah suai.

‘‘Saya rasa tidak perlu membelanjakan banyak wang bagi membesarkan rumah kerana apabila anak-anak telah berumah tangga, mereka akan tinggal di rumah sendiri.

“Akhirnya, saya tinggal berdua sahaja bersama suami. Apa yang penting saya selesa dengan rumah ini,’’ ujarnya.

Rabiah yang membeli rumah empat bilik ini daripada adiknya pada tahun 1992, membiarkan apa yang ada pada rumah ini tanpa sebarang penambahan.

Baginya, rumah walau bagaimana besar dan luas pun jika tidak pandai menyusun atur perabot dan barangan yang ada, pasti tidak nampak selesa.

Justeru itu, setiap ruang yang ada di rumahnya terutama di ruang tamu digunakan sebaik mungkin dengan meletakkan perabot yang bersesuaian agar nampak cantik, selesa dan seronok dipandang.

Menurut Rabiah, yang memiliki sebuah kedai antik di Pinggiran Ukay, beliau terlalu menyukai barangan antik sehinggakan terbawa-bawa ke rumahnya.

‘‘Ada orang yang menjual barangan antik tetapi tidak suka menghias rumah dengan barangan tersebut. Sebaliknya rumah dihias dengan perabot moden.

“Berbeza pula dengan saya kerana baik di kedai atau di rumah, barangan antik adalah kesayangan saya,’’ kata Rabiah yang ditemani suami, Mahmod Kamaruddin.

Berada di ruang tamu rumah Rabiah seakan-akan berada di sebuah muzium mini. Setiap tetamu yang berkunjung pasti akan terleka memerhatikan pelbagai koleksi antiknya.

Berhadapan dengan bangku panjang tempat tetamu melabuhkan punggung kelihatan sebuah almari tinggi warisan moyang yang menyimpan pelbagai jenis perhiasan daripada tembaga seperti dulang-dulang dan periuk belanga.

Kata Rabiah, almari tersebut mempunyai nilai sentimental dan tidak akan dijual walaupun ada yang menginginkannya.

Di sebelahnya, kelihatan pula sebuah almari perhiasan yang di dalamnya tersusun kemas koleksi pinggan mangkuk antik yang berusia sehingga seratus tahun.

Sebuah almari yang dijadikan tempat menyimpan lauk pada zaman dahulu berdiri gagah walaupun telah berusia ratusan tahun. Almari nyonya ini yang dahulunya bertutup dengan net dawai kini digantikan dengan kaca berwarna-warni dan sememangnya nampak cantik.

Selain itu, terdapat sebuah lagi almari hiasan besar yang dinamakan almari sisi yang diletakkan bingkai gambar ahli keluarganya dan barangan perhiasan kecil.

Apa yang menariknya, terdapat sebuah almari yang nampak tipis dan mempunyai pintu bertingkat yang boleh ditarik dan dinaikkan ke atas bagi mengambil barangan di dalamnya. Almari ini juga dijadikan almari perhiasan dengan susunan pinggan mangkuk lama.

Berhampiran dengan pintu bilik tidur Rabiah, diletakkan sebuah lagi almari perhiasan antik juga dijadikan tempat mempamerkan barangan perhiasan lama. Pendek kata setiap almari yang terdapat di dalam rumah ini mempunyai kisah tersendiri.

Selain koleksi almari, perhiasan antik lain yang menjadi penyeri rumah memang tidak ternilai harganya. Di antara yang boleh dilihat ialah gramofon lama berbentuk bunga raya merah yang masih boleh digunakan, koleksi kukur kelapa, tiga bakul sia besar yang dibuat khas bagi mengisi hantaran perkahwinan zaman dahulu, mangkuk tingkat ayan berwarna hijau, jam dinding antik dari Jerman selain tempayan dan pasu besar.

Meninjau ke dalam bilik tidur Rabiah, terpukau melihat katil Belanda empat tiang yang berusia beratus tahun masih tersergam kukuh dan disimpan sebagai kenang-kenangan.

Di satu sudut di dalam bilik tidurnya, diletakkan almari nyonya tempat mencuci tangan dan muka yang unik.

‘‘Dulu-dulu bila bangun tidur, orang akan mencuci muka dan tangan di besen yang terdapat pada almari ini,’’ ujar wanita berasal dari Melaka ini.

Berhadapan dengan katilnya pula diletakkan sebuah almari solek yang menurut Rabiah, ketika mula-mula diperoleh dahulu, meja tersebut hitam berkilat dan tidak nampak nilainya. Bagaimanapun setelah dibersihkan dan dirawat semula barulah nampak keindahan seni warisannya.

Rabiah yang menikmati masa santainya dengan melihat koleksi antiknya mengakhiri pertemuan dengan berkata: ‘‘Melihat barangan antik seperti dapat melihat sejarah zaman lampau dan membayangkan bagaimana nenek moyang kita dahulu membuat dan menyayanginya untuk diwariskan kepada anak cucu.’’

-------------------------------------

NUke

0 Comments:

Post a Comment




Segala kenyataan yang terdapat di dalam laman ini hanyalah pandangan peribadi penulis sahaja; dan tidak wajar dijadikan rujukan ilmiah. Semua nukilan adalah karya asli NUke_Rude MELAINKAN setiap perkara yang telah diperjelaskan sumber-sumbernya. Sebarang paparan semula adalah dilarang tanpa kebenaran bertulis. Penulis tidak bertanggungjawab atas kesan daripada salah laku yang disebabkan oleh tindakan pembaca itu sendiri.

 

K2 Modify and NUke Rude Blog 2010 | Use it. But don't abuse it.