Terbeliak matanya mencari cahaya di dalam bilik itu. Peluh di dahi tak perlu dicerita, setiap roma dan ruang mengeluarkan cecair jernih yang...jika dirasa dengan lidah, masin juga rasanya. Lenjun mukanya juga dengan peluh yang tidak berhenti-henti mengalir. Kaget, tanpa sebarang desakan, Azman mengelap pantas mukanya, memberikan sedikit ruang untuknya untuk bernafas. Mimpi yang dialaminya sebentar tadi benar-benar menguji kesabaran dan kemampuan akal jantannya.

Siapa Kasih? Gadis berambut hitam, panjang yang ditemuinya di dalam mimpi sebentar tadi? Aneh, itu bukanlah kali pertama. malah jika mahu dikira dan dihitung pertemuannya dengan Kasih dalam mimpi-mimpi nan terdahulu... mungkin ini adalah kali yang ke... err, tidak terkira.

Namun, bukan enak mimpi yang dinikmati Azman itu, jauh sekali mimpi yang memaksa dirinya mandi wajib; tetapi semuanya lebih tertumpu kepada kesalahan lampaunya yang sebelum ini sudah jauh dibuang dari kotak memori. Sungguhpun Azman adalah seorang kaki perempuan pada zaman mudanya dahulu, namun tidak sekali dia pernah bertemu dengan gadis bernama Kasih itu.

Musykil.

Ingin sekali dirinya beristighfar memohon keampunan Illahi, namun lidahnya kelu, butir katanya berterabur menyusun abjad jawi, dungu melafazkan bahasa syurga yang pernah dipelajarinya sewaktu kecil-kecil dahulu.

Allah... Allah... Ampunkan aku, ya Allah.
Ampunkan aku...
Ampunkan aku...


Bangkit, bersendirian di dalam bilik yang luas, Azman membiarkan tubuh bogelnya itu longlai melangkah ke bilik air yang sengaja didindingkan kaca. Pancur air laju membasahi tubuhnya yang mulai membuncit itu, memaksa Azman perlahan terduduk bersandar, hanyut. Dia amat berharap agar segala yang dimimpikan tadi hanyalah satu lagu permainan syaitan yang dilaknat.

Kembali terimbau babak-babak hitam putih mimpi di dalam paparan mindanya.

"Azman, kau kejam."
"Kenapa kau tinggalkan Kasih macam ni saja?"

Suara-suara gemersik Kasih kembali menghantui jejaka itu. Tanpa sedar, Azman mengalirkan air matanya. setelah hampir berpuluh tahun dirinya tidak pernah menangis, malam itu, dia menangis semahunya... kerana takut; takut akan kesalahan yang tidak diketahui. Azman takut dengan dirinya sendiri. Azman takut, dengan Kasih yang misteri.




INSOMNIA.




Nota: Nama watak adalah rekaan. jalan cerita berdasarkan imaginasi yang diolah dan dicampurkan dengan sedikit mimpi penulis yang ingat-ingat lupa. Tapi mostly fiksyen lah. Cebisan nukilan ini hanyalah berakhir di sini. Inginkan lebih? Tunggu saya tak tidur malam dan insomnia dahulu.



NUke

2 Comments:

  1. Janggel / Rain said...
    Adakah kasih itu jin perempuan??? ei ei
    Nik Atiqah said...
    cepat la sambung apa jadi dengan Azman :) thank you for writing this up, it's a tidbit for releasing stress hehe

Post a Comment



Segala kenyataan yang terdapat di dalam laman ini hanyalah pandangan peribadi penulis sahaja; dan tidak wajar dijadikan rujukan ilmiah. Semua nukilan adalah karya asli NUke_Rude MELAINKAN setiap perkara yang telah diperjelaskan sumber-sumbernya. Sebarang paparan semula adalah dilarang tanpa kebenaran bertulis. Penulis tidak bertanggungjawab atas kesan daripada salah laku yang disebabkan oleh tindakan pembaca itu sendiri.

 

K2 Modify and NUke Rude Blog 2010 | Use it. But don't abuse it.